KAEDAH MERANCANG PENULISAN YANG STRATEGIK

UNTUK KERTAS BAHASA MELAYU 1

SIJIL PELAJARAN MALAYSIA

 

Oleh:

Sazali bin Ibrahim  M.A (Malaya)

SMK. Laloh, Kuala Krai.

 

 

FORMAT PENTAKSIRAN KARANGAN BAHAGIAN A

 

         Satu soalan karangan berpandu/berdasarkan bahan rangsangan

         Markah penuh ialah 30 markah

         Peruntukan masa yang dicadangkan ialah 45 minit

         Jenis bahan rangsangan:

-  Gambar foto                - Gambar rajah       -  Ilustrasi kartun

          -  Pelan                            - Iklan                   - Petikan

          -  Catatan

 

KRITERIA PENSKORAN KARANGAN BAHAGIAN A

 

*   Karangan menepati tema bahan rangsangan

*   Bahasa gramatis dari segi kata dan ayat. Penggunaaan tanda baca betul dan tepat. Ejaan mengikut Sistem Ejaan Rumi Baru.  Penggunaan kosa kata luas dan tepat.

*   Wacana yang lengkap. Unsur bahasa yang digunakan bervariasi dan menggunakan ungkapan yang menarik.

*   Idea relevan dengan tema bahan rangsangan dan dihuraikan dengan jelas dan matang.

 

STRATEGI PENULISAN KARANGAN BAHAGIAN A

 

1.     Menulis perenggan pendahuluan

(Menggunakan kaedah TIF)

 

Mengandung 3 komponen ayat utama:

 

Ayat 1:        Tema

 

*        Definisi

Dadah merupakan sejenis bahan kimia yang boleh melumpuhkan sel-sel badan jika disalahgunakan.

 

*        Nilai murni

Alam sekitar merupakan anugerah Allah yang amat bernilai untuk semua makhluk di bumi ini  khususnya kepada manusia.

 

*        Kepentingan tema

Generasi muda merupakan aset kepada negara kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara.

 

*        Pernyataan Umum

Isu kemalangan jalan raya sering menjadi topik perbincangan hangat sama ada di media cetak mahupun di media elektronik.

 

         

Ayat 2:        Isu

 

*        Negatif

Namun, sejak kebelakangan ini, pembangunan yang tidak terkawal dan tidak terancang telah menjejaskan kualiti alam sekitar.

 

*        Positif

Justeru, kerajaan begitu serius untuk menerapkan amalan berbudi bahasa dalam kalangan rakyat sejak akhir-akhir ini.

 

(Wujudkan unsur dramatik antara Ayat 1 dan 2 dari aspek pertentangan positif ke negatif atau sebaliknya)

 

Ayat 3.        Fokus Soalan

 

*        Fokus isi karangan berpandukan perkaitan antara bahan rangsangan dengan tema.

Misalnya:

 

langkah-langkah  usaha-usaha                  faktor-faktor

                    punca-punca        ciri-ciri                  kebaikan                                            keburukan             kepentingan          kesan-kesan

 

*        Mulakan dengan ayat dengan soalan terbuka.

Sebagai contohnya,

 

Persoalannya, apakah kesan-kesan pembangunan terhadap terhadap alam sekitar di negara ini?

 

 

2.       Menulis perenggan isi

         

Mengandung 3 ayat teras sebagai subtema iaitu

1.       Ayat Wacana (AW) + Ayat Fokus  (AF)

2.       Ayat Sokongan (AS)

3.       Ayat Huraian/Contoh (AH)

 

Contoh :

Pada pendapat saya, Antara kesan pembangunan terhadap alam sekitar  (AW) ialah pencemaran udara (AF). Hal ini demikian, kerana bandar besar yang membangun bagai cendawan tumbuh selepas hujan menyebabkan pertambahan kenderaan bermotor di jalan raya dan hal ini secara tidak langsung menyebabkan pencemaran udara(AS). Buktinya, kesesakan lalu-lintas di bandar raya Kuala Lumpur semakin membimbangkan, manakala indeks pencemaran udara di Lembah Kelang lebih tinggi jika dibandingkan dengan di tempat-tempat lain.(AH)

 

Contoh:

Selain pencemaran udara (AW), pembangunan yang semakin mendadak juga menyebabkan sungai di negara ini semakin tercemar dan dasar sungai semakin cetek (AF). Hal ini disebabkan oleh aktiviti pembalakan yang dilakukan di hulu sungai dan aktiviti pembuangan sampah-sarap oleh penduduk yang tinggal berhampiran dengan sungai (AS). Oleh itu, selain menyebabkan pencemaran sungai, kita juga mendapati dasar sungai semakin cetek dan menyebabkan banjir kilat berlaku apabila hujan turun dengan lebat.(AH)

 

Contoh:

Tambahan pula (AW), kawasan bukit-bukau yang menjadi kawasan tadahan hujan ditarah dan digondolkan untuk pembinaan rumah dan lebuh raya (AF). Hal ini bermaksud, kebanyakan kawasan bukit-bukau di bandar-bandar besar telah dimajukan untuk dijadikan kawasan perumahan kerana kekurangan tanah pamah untuk dibangunkan sebagai kawasan perumahan(AS). Misalnya, kawasan lereng bukit di Banjaran Titiwangsa ditarah untuk pembinaan lebuh raya. Perbuatan ini telah menyebabkan berlaku kejadian tanah runtuh di kawasan lereng bukit sehingga mengorbankan nyawa penduduk di kawasan itu.(AH)

 

3.       Menulis Perenggan Kesimpulan

 

Mengandung 3 item yang utama:

i.        Saranan

ii.       Harapan

iii.      Rayuan/Sinis (menggunakan peribahasa)

 

Contoh:

Kesimpulannya, pembangunan di Malaysia mestilah dilaksanakan dengan terancang dan sistematik (Saranan) supaya alam sekitar kita tetap terpulihara (Harapan). Pembangunan  perlu dilaksanakan, tetapi pembangunan itu janganlah sampai menjejaskan alam sekitar.Jangan pula nanti kita menjadi seperti Pak Kaduk, ayamnya menang tetapi kampungnya tergadai dek kekhilafan sendiri. (Rayuan/Sinis)

 

4.       Menyemak Karangan

 

 

Contoh karangan yang lengkap:

 

Alam sekitar merupakan anugerah Allah yang amat bernilai untuk semua makhluk di bumi ini  khususnya kepada manusia. Namun, sejak kebelakangan ini, pembangunan yang tidak terancang telah menjejaskan kualiti alam sekitar. Persoalannya, apakah kesan-kesan pembangunan terhadap terhadap alam sekitar di negara ini?

 

Pada pendapat saya, antara kesan pembangunan terhadap alam sekitar  ialah pencemaran udara. Hal ini demikian kerana bandar besar yang membangun bagai cendawan tumbuh selepas hujan menyebabkan pertambahan kenderaan bermotor di jalan raya dan hal ini secara tidak langsung menyebabkan pencemaran udara. Buktinya, indeks pencemaran udara di Lembah Kelang semakin membimbangkan.

 

Selain pencemaran udara, pembangunan yang semakin mendadak juga menyebabkan sungai di negara ini semakin tercemar dan dasar sungai semakin cetek . Hal ini disebabkan oleh aktiviti pembalakan yang dilakukan di hulu sungai dan aktiviti pembuangan sampah-sarap oleh penduduk yang tinggal berhampiran dengan sungai. Oleh itu, selain menyebabkan pencemaran sungai, kita juga mendapati dasar sungai semakin cetek dan menyebabkan banjir kilat berlaku apabila hujan turun dengan lebat.

 

Tambahan pula , kawasan bukit-bukau yang menjadi kawasan tadahan hujan ditarah dan digondolkan untuk pembinaan rumah dan lebuh raya . Hal ini bermaksud, kebanyakan kawasan bukit-bukau di bandar-bandar besar telah dimajukan untuk dijadikan kawasan perumahan.. Misalnya, kawasan lereng bukit di Banjaran Titiwangsa ditarah untuk pembinaan lebuh raya. Perbuatan ini telah menyebabkan berlaku kejadian tanah runtuh di kawasan lereng bukit sehingga mengorbankan nyawa penduduk di kawasan itu.

 

Sebagai kesimpulan, pembangunan di Malaysia mestilah dilaksanakan dengan terancang dan sistematik supaya alam sekitar kita tetap terpulihara. Pembangunan  perlu dilaksanakan, tetapi pembangunan itu janganlah sampai menjejaskan alam sekitar.Jangan pula nanti kita menjadi seperti Pak Kaduk, ayamnya menang tetapi kampungnya tergadai dek kekhilafan sendiri!

                                                                             (248 patah perkataan)